30 Okt 2011

Mancari Camar Yang Hilang

Kalau Melayu dia seloka
kalau Melayu dia bermadah
kalau Melayu manis bicara
kalau Melayu halus bahasa

Berhati-hati bila berkata
nilainya diri di hujung lidah
kerana pulut santan binasa
kerana mulut badan binasa

Melukis seri bahasa kita
menegur tak menyinggung
menyindir santan berlada
lemakpun lemak
pedas terasa itulah orang kita

Tegur kita tegur berlagu
menikam cara berpantun
meninggi tak menyombong
ayunan beralun indah terhimpun
kurang ajar tetap bersantun.

3 Mei 2011

INDAHNYA BAHASA KITA

Salam Sejahtera. Dalam kemelut bahasa yang kian mencabar hari ini, kita seolah-olah dihanyutkan oleh arus pekembangan ilmu yang tiada sempadanya. Namun dalam meniti gelombang ini kita tidak seharusnya melupakan tentang di mana bumi kita dipijak dan di mana langit kita dijunjung. Bahasa kita dan nusa kita. Dalam membicarakan tentang bahasa kita saya tertarik dengan satu artikel yang ditulis oleh Cikgu Roshanilawatey Jusoh dari Kota Jelasin yang berjudul Makna Perkataan : Hubungan di antara Perkataan dan Benda.

Di antara perkataan dan benda pada umumnya tidak ada hubungan yang mutlak. Hubungan itu adalah arbitrari, iaitu bergantung kepada tanggapan yang ditentukan oleh sesuatu kumpulan penutur bahasa atau komuniti bahasa. Perkataan yang dilambangkan oleh bunyi [yu] misalnya membawa makna yang berlainan bagi penutur bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Makna yang berlainan itu telah ditentukan oleh kedua-dua kumpulan penutur itu. Walau bagaimanapun tedapat sesetengah perkataan yang menunjukkan hubungannya dengan benda yang dirujuknya. Hubungan ini timbul kerana perkataan itu diwujudkan berdasarkan kepada : 

1. Bentuk bunyi benda itu sendiri. 
Tiruan kepada bunyi dianggap sebagai satu dasar yang primitif dalam perwujudan perkataan bagi benda yang bersangkutan. Dengan demikian dikatakan , ada kesamaan di antara benda dengan namanya. Tiruan kepada bunyi benda itu kemudiannya menduduki taraf "kata" apabila penutur-penutur sesuatu bahasa itu menggunakan bunyi itu sebagai rujukan kepada nama benda yang menghasilkan bunyi tersebut. Sebagai contoh : - Perkataan "terkukur" ialah nama yang diberikan kepada burung yang mengeluarkan bunyi "te ku ku". - Perkataan "berkokok" asanya dari tiruan bunyi ayam jantan yang menghasilkan bunyi "kok, kok". - Begitu juga dengan "menguak", "mengembek", mengiau", "menggonggong", "mengaum", dan sebagainya. Perkataan-perkataan itu asalnya berpunca daripada tiruan manusia kepada bunyi lembu (uak), bunyi kambing (embek), bunyi kucing (miau), bunyi anjing ("ong, ong") dan bunyi harimau (aum). 

2. Nama orang yang mencipta atau menemui sesuatu. 
Terdapat perkataan-perkataan yang berasal daripada nama orang, iaitu orang-orang yang menjadi penemu atau pencipta sesuatu. Kata itu kemudiannya menjadi nama umum yang durujukkan kepada sesuatu. Sebagai contoh, perkataan "boikot" sebenarnya berasal daripada nama seorang Inggeris yang menjadi tuan tanah. Orangnya garang dan bengis. Namanya yang sebenar ialah Boycott. Begitu juga dengan "sandwich". "Sandwich" sebenarnya ialah seorang bangsawan Inggeris yang suka berjudi. Oleh sebab terlalu asyik berjudi, dia tidak pulang makan dan setiap hari hanya membawa roti untuk makan tengah hari. Jadi roti "sandwich" sebenarnya berasal daripada nama manusia "Sandwich" itu tadi. Satu contoh lagi ialah "oskar". "Oskar" berasal daripada nama seorang peminat seni, iaitu "Oscar". Contoh-contoh lain misalnya, dapat kita lihat pada perkataan-perkataan seperti kasut Bata, pen Parker, nahu Za'ba, skala Likert, taksonomi Blooom, teori Darwin, dan lain-lain lagi. Perkataan-perkataan yang berhuruf condong itu merupakan orang-orang yang mencipta atau menemui benda-benda tertentu yang dinyatakan atau tertera sebelumnya. 

3. Nama tempat asal benda itu.
Terdapat juga nama-nama benda yang berasal daripada nama tempat asalnya, misalnya kucing siam dan ikan sepat siam, asalnya dari Siam; Ayam goreng Kentucky, berasal dari Kentucky di Amerika Syarikat. Begitu juga kapur barus yang berasal dari Barus, iaitu nama sebuah tempat di Sumatera Barat. Perkataan sardin pula ada hubungan dengannya dengan nama pulau di Italia, iaitu Pulau Sardinia. Nama burung kenari berasal dari nama Pulau Kanari di Afrika. Perkataan magnet berasal dari nama tempat, iaitu Magnesia dan perkataan cologne juga berasal daripada nama tempat, iaitu Cologne di Jerman Barat. Oleh sebab perkataan-perkataan itu telah menjadi perkataan umum, maka penutur-penutur tidak menyedari bahawa perkataan tersebut berasal dari nama tempat. 

4. Bahan asal benda itu diperbuat. 
 Tidak banyak nama-nama benda yang berasal daripada nama bahan asal benda itu diperbuat yang telah sebati keadaannya, dalam bahasa Melayu. Kebanyakan nama itu disebut dalam bentuk rangkaian kata-kata sahaja, seperti tepung beras (tepung yang diperbuat daripada beras), tikar pandan (tikar yang diperbuat daripada pandan), wang perak (wang yang diperbuat daripada perak) dan contoh-contoh seperti kain sutera, kasut getah,beg kertas, pinggan kaca dan lain-lain. Hanya terdapat satu contoh yang selalu diberikan, yang menunjukkan bahawa nama benda itu telah bulat-bulat atau sepenuhnya diambil daripada nama asal benda berkenaan. Nama itu ialah guni. Guni sebenarnya ialah serat daripada sejenis tumbuhan yang digunakan untuk membuat karung. Karung itu juga disebut orang sebagai guni. Jadi nama "guni" yang dirujukkan kepada "karung" itu memang sepenuhnya berdasarkan kepada nama bahan asal benda itu diperbuat.

16 Mac 2011

TEKNIK MENJAWAB BAHAGIAN C - UPSR

Kertas Penulisan UPSR Bahagian C adalah satu bentuk soalan yang memerlukan murid-murid membuat ulasan (pengajaran, nilai murni, kebaikan, faedah dan lain-lain. berdasarkan stimulus petikan sastera dan bukan sastera. Dalam bahagaian ini murid-murid dikehendaki menjawab tidak lebih daripada 50 patah perkataan dalam bentuk jawapan satu perenggan. 20 markah diperuntukan dengan cadangan masa selama dua puluh minit.

Teknik menjawab soalan bahagian ini boleh dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu sebelum menjawab, semasa menjawab dan selepas menjawab.

Sebelum Menjawab
  1.  Baca dan fahami arahan soalan.
  2.  Mencatat nilai murni / pengajaran / amalan yang baik dari petikan.
  3. Senaraikan seberapa banyak nilai murni  dari petikan.
  4. Fahami nilai yang tersirat dan tersirat.
  5. Elakkan dari membuat ulasan dalam bentuk cerita.
  6. Hanya nilai positif yang terdapat dalam petikan sahaja yang diterima.
Semasa Menjawab
  1.  Berpandu dengan nilai murni yang telah dicatat, tulis jawapan dengan menggunakan ayat sendiri dab cuba gunakan penanda wacana yang sesuai untuk membina ayat yang gramatis.
  2. Ulasan hendaklah ditulis dalam satu perenggan sahaja.
  3. Elakkan menyalin semula petikan.
  4. Peribahasa atau kata hikmat tidak perlu dimasukkan.
  5. Kemulakan 5 nilai / pengajaran sahaja.
  6. Ulasan mestilah berkaitan dengan petikan dan tidak perlu terlalu panjang. Satu nilai memadai dengan satu ayat sahaja.
  7. Hanya nilai positif yang terdapat dalam petikan sahaja diterima. 
Selepas Menjawab
  1. Semak 5 aspek kesalahan bahasa - perbendaharaan kata, struktur ayat, imbuhan, ejaan dan tanda baca.
  2. Pastikan hanya ada 5 nilai / pengajaran sahaja.
  3. Bilangan. perkataan tidak terlalu panjang. Memadai antara 50 - 60 patah perkataan sahaja.
  4. Jangan mencatat diruangan jawapan.

1 Feb 2011

KERTAS PENULISAN BAHAGIAN A - UPSR

Pengenalan Am
Kertas Penulisan UPSR Bahagian A adalah satu bentuk soalan yang memerlukan murid-murid memindah maklumat berdasarkan stimulus gambar, carta, graf, peta dan sebagainya. Dalam bahagaian ini hanya satu soalan sahaja yang diberikan dan wajib dijawab. Murid-murid dikehendaki membina lima ayat lengkap lagi gramatis berdasarkan gambar. 10 markah diperuntukan dengan cadangan masa masa selama lima belas minit.

Nota Untuk Guru
Berikut ialah cadangan aktiviti-aktiviti yang boleh diaplikasikan  dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah bagi kemahiran memindah maklumat (Bahagian A). Walaubagaimanapun, para guru disaran mencadangkan aktiviti-aktiviti lain yang difikirkan sesuai dengan kebolehan murid-muridnya.

Cadangan Objektif
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat;
  1. Memahami arahan yang diberi
  2. Membina perkataan berdasarkan bahan grafik
  3. Menyusun perkataan yang diberi supaya menjadi ayat yang lengkap
  4. Mengecam maklumat / aktiviti berdasarkan bahan grafik yang diberi
  5. Membina lima ayat berdasarkan bahan grafik secara lisan dan bertulis.
Cadangan Aktiviti
  1. Mengesan maklumat / aktiviti  yang terdapat dalam bahan gfarik
  2. Menbina perkataan berdasarkan  arahan dan bahan grafik
  3. Menyusun perkataan supaya menjadi ayat
  4. Membina ayat berdasarkan rajah tukar ganti
  5. Melengkapkan ayat dengan perkataan atau frasa yang diberi
  6. Membina ayat berdasarkan bahan grafik secara lisan dan bertulis
  7. Membina ayat tanya berdasarkan bahan grafik
  8. Membina ayat penyata berdasarkan ayat tanya yang yang dibina
  9. Perbincangan atau soal jawab
  10. Membina ayat berdasarkan perkataan atau rangkai kata  yang disediakan
  11. Menyemak ayat yang dibina secara bersilang sesama rakan
  12. Meletak tanda baca dan huruf besar dalam ayat yang diberi.
Langkah-Langkah Menjawab Soalan Bahagian A
Untuk membantu murid mengolah ayat yang hendak dibina terlebih dahulu murid perlu meneliti dan memahami gambar yang diberi mengikut panduan berikut :
  1. Murid perlu terlebih dahulu mengenal pasti tema dan situasi dalam gambar atau bahan grafik yang diberi.
  2. Murid boleh menggunakan konsep 5W + 1H
  3. Sekiranya gambar bersiri, murid hendaklah pastikan susuna siri gambar dan tentukan gambar yang lebih daripada satu aktiviti
  4. Murid boleh menggunakan kata nama khas atau kata nama am untuk mewakili watak yang terdapat dalam gambar atau grafik
  5. Murid hendaklah membina ayat yang gramatis dan menepati situasi atau tema dalam gambar menggunakan pelbagai kosa kata dan tatabahasa yang betul.