1 Feb 2011

KERTAS PENULISAN BAHAGIAN A - UPSR

Pengenalan Am
Kertas Penulisan UPSR Bahagian A adalah satu bentuk soalan yang memerlukan murid-murid memindah maklumat berdasarkan stimulus gambar, carta, graf, peta dan sebagainya. Dalam bahagaian ini hanya satu soalan sahaja yang diberikan dan wajib dijawab. Murid-murid dikehendaki membina lima ayat lengkap lagi gramatis berdasarkan gambar. 10 markah diperuntukan dengan cadangan masa masa selama lima belas minit.

Nota Untuk Guru
Berikut ialah cadangan aktiviti-aktiviti yang boleh diaplikasikan  dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah bagi kemahiran memindah maklumat (Bahagian A). Walaubagaimanapun, para guru disaran mencadangkan aktiviti-aktiviti lain yang difikirkan sesuai dengan kebolehan murid-muridnya.

Cadangan Objektif
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid dapat;
  1. Memahami arahan yang diberi
  2. Membina perkataan berdasarkan bahan grafik
  3. Menyusun perkataan yang diberi supaya menjadi ayat yang lengkap
  4. Mengecam maklumat / aktiviti berdasarkan bahan grafik yang diberi
  5. Membina lima ayat berdasarkan bahan grafik secara lisan dan bertulis.
Cadangan Aktiviti
  1. Mengesan maklumat / aktiviti  yang terdapat dalam bahan gfarik
  2. Menbina perkataan berdasarkan  arahan dan bahan grafik
  3. Menyusun perkataan supaya menjadi ayat
  4. Membina ayat berdasarkan rajah tukar ganti
  5. Melengkapkan ayat dengan perkataan atau frasa yang diberi
  6. Membina ayat berdasarkan bahan grafik secara lisan dan bertulis
  7. Membina ayat tanya berdasarkan bahan grafik
  8. Membina ayat penyata berdasarkan ayat tanya yang yang dibina
  9. Perbincangan atau soal jawab
  10. Membina ayat berdasarkan perkataan atau rangkai kata  yang disediakan
  11. Menyemak ayat yang dibina secara bersilang sesama rakan
  12. Meletak tanda baca dan huruf besar dalam ayat yang diberi.
Langkah-Langkah Menjawab Soalan Bahagian A
Untuk membantu murid mengolah ayat yang hendak dibina terlebih dahulu murid perlu meneliti dan memahami gambar yang diberi mengikut panduan berikut :
  1. Murid perlu terlebih dahulu mengenal pasti tema dan situasi dalam gambar atau bahan grafik yang diberi.
  2. Murid boleh menggunakan konsep 5W + 1H
  3. Sekiranya gambar bersiri, murid hendaklah pastikan susuna siri gambar dan tentukan gambar yang lebih daripada satu aktiviti
  4. Murid boleh menggunakan kata nama khas atau kata nama am untuk mewakili watak yang terdapat dalam gambar atau grafik
  5. Murid hendaklah membina ayat yang gramatis dan menepati situasi atau tema dalam gambar menggunakan pelbagai kosa kata dan tatabahasa yang betul.